Zaman beredar & berubah, namun
sunnah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW tetap tidak berubah & masih
tegar di ingatan. Sebahagian golongan masih mengamalkannya & segelintirnya
lagi mungkin tidak. Justeru, kita tahu banyak sunnah Nabi SAW yang boleh
diamalkan dalam kehidupan seharian kita, tetapi hari ini saya ingin menumpukan
sahaja ke arah pengambilan makanan sunnah daripada junjungan kita Nabi Muhammad
SAW yang mana tidak semua orang mengetahui kelebihan & juga fadhilat di
sebalik makanan sunnah itu sendiri.
Masa berganti hari, minggu berganti
bulan & tahun. Tanpa disedari, fenomena pengambilan makanan yang kurang
baik untuk kesihatan semakin berleluasa. Adakah ini menunjukkan kita lupa &
alpa akan makanan sunnah junjungan kita Nabi Muhammad SAW? Yang penuh dengan
khasiat tersirat & baik untuk kesihatan serta pelancaran organ dalaman.
Kadangkala kita sering leka & tidak mengambil peduli terhadap makanan yang
diambil. Tidak menilai dari aspek kualiti & kesannya kepada diri yang akan
menempuh kehidupan yang kita sendiri tidak tahu pelbagai ujian menanti di
hadapan.
Terfikirkah kita, apakah rahsia di
sebalik khazanah berharga ini? Ya, mungkin ramai juga yang mengamalkan
pengambilan makanan sunnah ini tetapi tidak ramai yang meneroka &
menyingkap kelebihan serta rahsia di sebaliknya. Seperti yang kita ketahui
antara makanan sunnah yang boleh diamalkan dalam pemakanan kehidupan seharian
kita adalah seperti buah kurma, kismis, madu, buah tin, buah zaitun, buah
delima, buah aprikot, kacang badam, za'faran & banyak lagi. Kesemua makanan
sunnah di atas pula dipecahkan lagi dengan pelbagai jenis & aneka rasa.
Kadangkala dicampurkan makanan tersebut di dalam masakan, kek, air & juga
dimakan begitu sahaja.
Fakta Kelebihan Makanan Sunnah :
Adalah menjadi satu kepentingan bagi
seseorang itu tahu akan kelebihan di sebalik makanan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Ianya bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan dari segi fizikal tetapi
juga baik untuk organ dalaman seperti membantu melancarkan penghadaman makanan
& pelancaran peredaran darah. Di samping itu, setiap makanan sunnah
tersebut ada kelebihannya tersendiri.
1. Buah kurma/tamar :
Kurma dapat membantu pelancaran proses
peredaran darah, mencegah serangan strok, baik untuk ibu yang hamil &
bersalin. Seperti yang dinyatakan di dalam ayat Al-Quran tentang kelebihan buah
kurma ini, yang dialami oleh Sayyidatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi
Isa 'Alaihi Salam. Firman Allah SWT :
Maksudnya : "Dan
goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak".
(Surah Maryam : 25).
Ayat di atas menjelaskan tentang
khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah
memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas
bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan
unsur zat besi & kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang
terkandung di dalam Al-Quran & hadis Rasulullah SAW bukanlah jenis
perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau
sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia
antarabangsa.
Selain itu juga, diriwayat oleh Aisyah
r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat."Jika sesiapa yang selalu
makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan".
Bahkan buah kurma juga mampu menghindarkan seseorang itu daripada gangguan
syaitan, sihir & yang seumpama dengannya. Sebagaimana Rasulullah SAW telah
menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari
yang bermaksud : "Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang
disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir
bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda :
"Sesiapa yang memakan 7 biji tamar 'Ajwah' dia akan terkawal daripada
kejutan syaitan & sihir pada hari itu".
Kajian & Penemuan Sains Perubatan :
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran
& hadis Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut
kajian Dr. Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku "Tempoh mengandung dari segi
perubatan, fiqhiyah & perundangan", hasil kajiannya menunjukkan jus
kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan
lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan & membantu
memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah
darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Manakala hasil kajian Prosefor Madya
Aisyah Mohd Zain, Pensyarah Fakulti Sains & Bioteknologi Universiti Putra
Malaysia, menunjukkan bahawa jus kurma membantu mencegah daripada sembelit,
lemah otot, sengal-sengal badan, lesu & barah usus besar. Selain itu,
membantu merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan & melawaskan. Di
samping menambahkan tenaga seksual, kurma juga boleh digunakan sebagai pencuci
mulut. Ini adalah antara kajian sains yang telah dibuat berdasarkan perincian
kelebihan buah kurma tersebut.
2. Buah Kismis :
Sebagaimana kurma, kismis juga ada
kelebihannya tersendiri. Kismis adalah satu "manisan" asli ciptaan
Allah SWT. Ia adalah sejenis buah-buahan kering yang berkhasiat di bumi ini. Ia
tidak mengandungi kolesterol atau lemak serta rendah kandungan garam. Di samping
membekal tubuh badan dengan banyak vitamin & mineral yang penting seperti
zat besi, potassium, magnesium, kalsium & vitamin B1, B3 & B6, kismis
juga mengandungi zat besi untuk pembinaan darah bagi pengangkutan oksigen ke
otak & ke seluruh badan. Kismis merupakan serat yang baik & kaya dengan
agen antioksida (anti-penuaan). Ia mengandungi fruktosa (sejenis gula ringkas
yang asli) yang dapat dihadamkan dengan cepat untuk tenaga segera. Sangat
sesuai terutama bagi mereka yang menggunakan banyak tenaga untuk berfikir
seperti guru & pelajar. Nabi Muhammad SAW bersabda : "Biasakanlah
memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (hempedu/cairan
kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan
saraf & menghilangkan letih". Di tambah lagi, "Barangsiapa
memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka
dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian".
Kelebihan Kismis Yang Dikenalpasti :
Membantu meningkatkan memori &
hafalan, memperbaiki sirkulasi bagi kondisi seperti varicose veins, bengkak,
lebam & kabur pandangan. Ia juga dapat membantu melawaskan pembuangan air
besar, melindungi hati, memperbaiki ton & keanjalan kulit, melawan bakteria
mulut (oral bacteria) yang menyebabkan pereputan gigi bagi kanak-kanak. Selain
itu membantu menguatkan hafalan, menajamkan mata, minda & menambah fahaman
serta minat belajar khususnya bagi pelajar.
Secara umumnya, ia membantu memulihkan
keletihan saraf, membantu mengurangkan stres, merawat penyakit histeria,
penyakit anemia, merawat masalah anak hyperaktif & sebagainya. Jika hendak
dijelaskan satu persatu amatlah banyak kelebihan setiap satu makanan sunnah
Rasulullah SAW yang boleh diamalkan dalam pemakanan sehari-hari.
Kajian Pakar Terhadap Kismis :
Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak
di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa kismis
mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang
konsisten kepada kanak-kanak. Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih,
tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hyper & menjadi lemah
apabila kandungan gula itu mula merosot. Berlainan dengan kismis, kerana ia
akan menyebabkan kanak-kanak mendapat tenaga yang seimbang & menyihatkan
badan.
Kismis adalah salah satu alternatif
bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, kita
perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu
menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti
atau kek.
3. Buah Tin :
Fakta sains menjelaskan bahawa buah tin
dari jenis (Carica Ficus) di Maroko & negara-negara Afrika Utara lainnya,
buah ini dikenal dengan sebutan "karmouss" & kerana keberadaannya
yang banyak tersebar di pesisir Laut Tengah, maka buah ini banyak sekali
disebutkan dalam literatur-literatur sejarah kuno & sebagaimana juga
disebutkan pada kitab-kitab samawi.
Fakta Sains & Hadis :
Dalam fakta sains moden menjelaskan
bahawa cairan tin yang dicampurkan pada banyak ramuan-ramuan perubatan memiliki
keberkesanan tinggi. Oleh kerana itu Nabi Muhammad SAW menyatakan buah ini
dalam salah satu sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Dardaa, bahawasanya
telah dihidangkan kepada Nabi sebuah menu dari buah tin, maka Nabi mengajak
sahabat-sahabatnya menyantapnya bersama beliau lalu bersabda :"Jika aku
mengatakan ada buah yang turun dari langit, maka buah inilah (menunjukkan buah
tin)".
Ibn Alqayyim dalam bukunya
"Ath-Thib Annabawi" menyatakan riwayat hadis di atas : "Menguji
keberkesanan pengubatan Nabi sebagai tersebut dalam hadis ini, dapat
disimpulkan beberapa teori. Pada zaman dahulu kala, buah tin telah banyak
dipakai untuk kepentingan perubatan, tokoh-tokoh kedoktoran terdahulu seperti Ibn
Sina telah banyak mengetahui buah tin mempunyai banyak faedah perubatan".
Kelebihan Buah Tin :
Melalui perubatan tradisional pada
dekad terakhir ini juga telah mengenal kemujaraban buah tin di mana dianggap
secara perubatan menyembuhkan berbagai penyakit seperti mengubati luka-luka,
borok, selesema burung, mag, gangguan sirkulasi menstrurasi & luka terbakar.
Di samping itu, buah tin juga kaya dengan vitamin A & B serta kadar
tertentu dari vitamin C. Dan mengandungi garam pokok seperti kalsium, fosfur,
zat besi yang membangun pertumbuhan badan & pembangkit tekanan darah.
Selain itu, kandungan buah tin juga kaya dengan serat, kalium & magnesium
yang dapat mengurangi serangan angin & mampu mengawal tekanan darah tinggi
serta mampu mengurangi berat badan. Oleh kerana itu, buah tin sangat sesuai
mengatasi masalah berat badan.
Dengan lebih jelas, di dalam kitab
Tafsir Al Munir tulisan Dr Wahbah Az Zuhaili; seorang tokoh ulama' di bumi Syam
As Syarif, mentafsir Surah At-Tin yang mana penulis ada menyatakan bahawa buah
tin mempunyai 1001 rahsia penyembuhan. Antara penyakit yang boleh diikhtiarkan
penyembuhannya melalui pengambilan buah tin secara konsisten 2 kali sehari
paling kurang selama 40 hari adalah :
1. Membersihkan buah pinggang &
rawatan buah pinggang yang rosak.
2. Mengurangkan kepanasan badan ketika
demam.
3. Memecahkan batu karang di dalam
badan.
4. Menyegarkan badan yang lesu.
5. Mengeluarkan toksin & racun
dalam badan.
6. Rawatan buasir.
7. Meredakan sakit kulit seperti ruam,
panau & lain-lain.
8. Rawatan penyakit gout.
Justeru, Allah SWT menyebutkan beberapa
jenis buah & tumbuh-tumbuhan di dalam Al-Quran, menyebutkan buah tin sekali
saja pada Surah At-Tin. Surah terakhir ini merupakan surah satu-satunya
mengambil judul nama tumbuhan, berbeza dengan surah yang bertema binatang yang
banyak menjadi judul surah-surah Al-Quran seperti Al-Baqarah = sapi betina,
An-Naml = semut, An-Nahl = lebah, Al-'Ankabuut = labah-labah & Al-Fiil =
gajah.
Dari keterangan di atas menegaskan
bahawa tin merupakan buah yang sangat dahsyat, memiliki kegunaan perubatan yang
sangat banyak. Menurut Ibn Al-Qayyim Al-Jouzi lagi bahawa : "Mengingat
tin tidak terdapat di daratan Hijaz & kota Madinah, serta langkah
penyebutannya dalam sunnah, kerana lahan tin memang tidak serasi dengan lahan
kurma. Akan tetapi, Allah bersumpah di dalam Al-Quran demi tin kerana menfaat
& kegunaannya yang sangat banyak itu". Maka Ibn Al-Qayyim
berkesimpulan bahawa yang dimaksud ayat sumpah adalah buah tin yang telah
dikenal luas itu.
4. Madu :
Madu asli mengandungi enzim-enzim hidup
yang amat diperlukan manusia untuk meningkatkan fungsi tubuh badan ke tahap
optima. Seperti mana kandungan-kandungan yang dihasilkan lebah ialah madu,
royal jelly, bee pollen, propolis terdapat bahan-bahan hebat yang tidak dapat
dikenalpasti. Lebih menarik lagi, bahan-bahan ini tidak boleh ditiru atau
dihasilkan secara sintetik oleh makmal. Ini bermakna madu tidak boleh
dihasilkan oleh makmal secara olahan kimia. Madu hanya boleh didapati pada
sarang lebah itu sendiri.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran : "Dari
perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya
terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian
itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang
berfikir". (Surah An-Nahlu, Ayat 68 & 69)
Demikian betapa hebatnya ciptaan Allah
SWT yang memberikan segala rahmat-Nya kepada semua manusia di muka bumi ini
mengenai khasiat madu yang diperoleh dari lebah. Sesungguhnya, firman Allah itu
telah dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang berkali-kali menyatakan
bahawa madu adalah sangat baik untuk kesihatan, menyembuhkan penyakit,
menguatkan ingatan minda & membawa banyak khasiat lain. Sabda Rasulullah
SAW :
1. "Barangsiapa minum madu setiap
bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan
menyembuhkannya dari 77 penyakit".
2. "Barangsiapa ingin memiliki
hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".
3. "Sebaik-baik minuman ialah madu
kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati & menghilangkan dingin yang ada di
dalam dada".
4. "Allah SWT telah meletakkan
berkat di dalam madu & menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri &
madu telah didoakan oleh 70 Nabi".
Tambahan lagi, madu mampu menyembuhkan
pelbagai penyakit ringan & berat seperti penyakit jantung, tekanan darah
tinggi, demam, melancarkan peredaran darah, menurunkan suhu badan & banyak
lagi. Malah, Ibnu Sina sendiri mengamalkan meminum madu yang dikatakan
memberikan padanya umur yang agak panjang & awet muda sehingga ke akhir
hayat.
Namun, agak menyedihkan apabila ramai
di kalangan kita yang lebih berminat untuk mengambil minuman gas ciptaan barat
atau berkafein tinggi meskipun dibuktikan secara saintifik sebagai merbahaya
kepada kesihatan manusia.
Beberapa kajian telah diusahakan yang
tertumpu kepada bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan & buah-buahan. Begitu
juga dengan madu lebah kerana dalam Al-Quran sendiri telah menggariskan
berbagai pengajaran & maklumat penjagaan diri daripada berbagai penyakit,
mahupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah
Allah dengan teratur.
Firman Allah dalam Surah Al-Nahl : "Kemudian
makanlah daripada setiap macam buah-buahan & tempuhlah jalan Tuhanmu yang
telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang
bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan
bagi orang yang memikirkan". (Surah An-Nahl : 69)
Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda : "Ambillah
atau pergunakanlah olehmu sekalian akan 2 ubat penyembuh iaitu madu &
Al-Quran". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dari hadis tersebut ternyata madu
mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu
kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi & vitamin yang kuat. Di samping itu
madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh & cepat memberi
tenaga.
Mereka yang mengetahui akan khasiat
madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah
dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika diamalkan
setiap hari akan mencegah daripada berbagai penyakit & memberi tenaga yang
cukup.
Khasiat Madu Yang Terbukti :
Madu mampu meningkatkan kadar serapan
kalsium dalam badan, hemoglobin & dapat mencegah dari serangan anemia.
Manakala bila dicampurkan sedikit cuka ia dapat merawat arthirik sendi.
Kegunaan madu secara luaran juga dapat mempercepatkan lagi proses penyembuhan,
dapat meningkatkan pengeluaran gastrointestinal untuk merawat ulser, sumber
laxative yang asli & lembut. Ia juga merupakan sumber utama vitamin &
mineral yang kaya, sumber tenaga yang hebat & semulajadi tidak seperti gula
pasir yang memudaratkan. Selain itu juga, mampu memulihkan kekuatan tubuh,
membersih & menambah darah.
Madu juga baik untuk pertumbuhan janin
& bayi dari segi fizikal & mental, menyembuh dengan segera cirit-birit,
mengeluarkan lendir dalam badan bayi & menguatkan minda kanak-kanak. Secara
umumnya ia membantu menguatkan jantung, buah pinggan & badan. Selain
membantu menyembuhkan penyakit, ia juga membantu mengurangkan kesakitan bagi
golongan wanita yang didatangi haid & baik untuk perempuan mengandung serta
bersalin.
5. Delima :
Di dalam Al-Quran, terakam indah firman
Allah yang bermaksud : "Di dalam kedua-duanya (syurga) juga
terdapat buah-buahan serta pohon kurma & delima". (Surah Al-Rahman
Ayat 68)
Allah menyebut buah delima (rumman)
sebanyak 3 kali di dalam ayat-Nya untuk menunjukkan betapa hebatnya penciptaan
Allah itu & ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga. Mengapa begitu
sekali pengiktirafan Allah terhadap buah delima sebagai anugerah kepada
makhluk-Nya di muka bumi? Apakah keistimewaan di sebalik sebiji buah delima?
Dari sudut pemakanan, buah delima amat
kaya dengan sodium & mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin,
tiamin, niasin, vitamin C, kalsium & fosforus. Manakala zat protein &
lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya. Oleh sebab ia mempunyai
nilai pemakanan yang baik, buah delima juga disarankan dimakan dalam
mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.
Justeru, ia digelar
"superfruit" mengandungi antioksidan yang unggul diterajui oleh asid
alergik yang berupaya melindungi kalenjar prostat, payudara, organ paru-paru
& jantung atau sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan delima boleh
memusnahkan sel kanser payudara tanpa memudaratkan sel sihat & menghalang
sel kanser payudara membentuk.
Selain itu, delima boleh menurunkan
tekanan sistolik sehingga 5%. Fakta ini amat membantu dalam pengawalan penyakit
jantung atau sistem kardiovaskular. Ia juga boleh mencegah & melambatkan
penyakit nyanyuk atau penyakit Alzheimer. Beberapa kajian lain menunjukkan
delima boleh mengurangkan pembentukan plak gigi, mencegah kemerosotan rawan
& menghalang radang sendi.
Dalam sebuah hadis Mauquf & Marfu',
Rasulullah SAW bersabda bahawa buah delima termasuk buah syurga. "Tak
satupun buah delima yang kalian tanam, melainkan ia dibuahi dengan biji buah
delima syurga". Harb & lainnya meriwayatkan juga dari Ali bin Abi
Thalib bahawa Rasulullah bersabda yang ertinya, "Makanlah buah
delima berserta minyak & atau lemaknya kerana ia dapat mengaktifkan
pencernaan" (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Ibnu Qayyim dalam buku At Tibb An
Nabawi berkata tentang buah delima, "Sesungguhnya buah delima itu
sangat baik untuk perut kerana dapat menguatkannya". Menurut Ibnu
Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas & lembap, oleh sebab itu ia
amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada & paru-paru kerana ia akan
melegakan batuk. Sepertimana sabda daripada Nabi Muhammad SAW daripada Ali
& Abu Nu'aim yang bermaksud : "Buah delima & kulitnya dapat
menguatkan perut untuk penghadaman". Jus buah delima dapat memberikan
zat kepada tubuh badan serta menyegarkan badan & ia dapat dihadam dengan
cepat kerana sifatnya yang ringan & akan mengeluarkan haba bersama dengan
angin di dalam perut. Oleh sebab itu buah delima tidak disarankan kepada mereka
yang menghidap demam. Ia juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk
cirit-birit, anemia, tekanan darah tinggi & arthritis. Di samping itu, buah
delima dapat menguatkan jantung & membantu dalam fungsi saraf & otot.
Oleh kerana itulah, ia mampu menghilangkan rasa keletihan.
Maka di sini kita dapat lihat bahawa
setiap makanan sunnah Rasulullah SAW itu memiliki kelebihan & rahsianya
yang tersendiri untuk kebaikan & kesihatan tubuh badan manusia. Selaras
dengan firman Allah SWT & hadis Nabi SAW di atas yang menjelaskan peranan
& kepentingan buah atau makanan tersebut. Banyak lagi makanan sunnah yang
mempunyai kelebihan yang tidak kita ketahui secara terperinci.
Oleh itu tanggungjawab bersama untuk
melatih diri mengamalkan pengambilan makanan sunnah Rasulullah SAW yang memberi
kesan positif untuk tubuh badan serta minda kita dalam menjalani kehidupan
seharian. Seperti kata pepatah melayu "Mencegah lebih baik daripada
mengubati".
Credit to : Berita Harian (05/04/2013),
Oleh : Wirdatul Jannah Mohamad, Universiti Sains Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment